Friday, November 27, 2009

Friday, November 6, 2009

Renungan @ Aznil

Doa Aznil Hj Nawawi sempena hari lahir yang ke-47 pada 6 November 2009 (untuk renungan)

Alhamdulillah, hari ini aku sempat menghirup udara-Mu yang terus memberi aku nafas kehidupan buat tahun yang ke-47. Bersyukur sangat-sangat, pada usia begini Kau masih melimpahkan aku dengan kasih sayang-Mu yang tiada dapat ku balas selain amal dan pujian kepada-Mu, Tuhan Maha Esa.

Ya Allah, jika Kau mahu aku teruskan kehidupanku di muka bumi ini, aku pinta dan berdoa semoga Kau terus limpahkan hidayah-Mu supaya dapat aku perhambakan kepada-Mu.

Kau Maha Mengetahui akan perjalanan hidup ini dan Kau Maha Arif akan kehadiranku di dunia pinjaman ini.

Aku masih mempunyai keluarga. Sementelah Kau pinjamkan aku pada mereka dan mereka pada aku, biar mereka dapat sepenuh pembelaan kehidupan daripada aku. Banyak lagi kekurangan yang harus aku lunaskan sebelum tiba masa dijemput-Mu.

Kurniaan-Mu pada aku cahaya mata comel yang juga hamba-Mu Ya Allah, sangat bererti bagiku supaya dapat mereka juga meneruskan kehidupan bertonggakkan dua kalimah sehingga mereka pula beranak dan bercucu, insya-Allah.

Peliharalah kesihatanku supaya jasad ini dapat terus melakukan tugas yang Kau amanahkan padaku. Halakan lidah dan perbuatanku supaya dapat kutitip dakwah seruan-Mu dalam kerja aku dengan caraku. Kau Maha Mengetahui mengapa Kau ciptakan aku dan letakkan aku di tampuk ini. Wallahualam.

Siapalah aku dan orang lain untuk menghakimi kerja ini jika ini juga kebolehan yang Engkau anugerahi untuk kupinta rezeki bekal hidup yang sementara.

Ya Allah, aku bersyukur kerana Kau terus pesan-pesan sayang-Mu pada mereka yang rapat denganku supaya terus mengingatkan aku seandainya aku lalai dalam amalku, dalam ibadatku, dalam kerjaku, dalam sukaku, dalam dukaku dan dalam tanggungjawabku.

Kau anugerahkan aku dengan saudara yang sentiasa bersamaku pada waktu senang dan susah. Juga rakanku pada waktu tawa dan tangis.

Kerana anugerah yang tinggi ini, aku terus melangkah yakin kerana aku tahu Engkau ada wakilkan pada mereka untuk membimbing aku ke arah-Mu.

Kerana kasih-Mu Ya Allah, Kau berikan kelebihan limpah padaku untuk turut mendapat perhatian dari ramai mata lain supaya langkahku tidak pincang dan dipelihara selalu. Pemerintahku, pemimpinku, ketuaku dan penyokongku. Syukur ke hadrat-Mu kerana memilih aku untuk menerima kelebihan ini supaya dapat mereka menegur keterlanjuranku, keegoanku dan kealpaanku.

Ya Allah, aku ikrarkan janji untuk cebisan nyawa yang masih ada ini, juga untuk aku jadi pembela pada yang pincang, lemah, sakit, kerdil, rapuh, teraniaya dan yang memerlukan.

Akan aku abadikan harta yang Kau berikan, akal yang Kau anugerahkan dan kudrat yang Kau limpahkan untuk mereka juga kerana mereka juga penumpang sementara di perjalanan dunia seperti aku.

Ya Tuhan sekelian alam, 47 tahun Kau bentuk diriku dan semua yang baik daripada-Mu dan yang buruk daripadaku jua. Bersyukur aku kepada-Mu kerana masih boleh lagi meminta ampun daripada-Mu pada hari Kau jadikan aku.

Sesungguhnya aku terlalu takut pada neraka-Mu. Maka salurkan aku kudrat untuk terus mengingati-Mu dalam harianku, seandainya hari lahir ke-48 tidak sempatku gapai, matikanlah aku pada iman-Mu, dalam agama-Mu, pada syiar-Mu, pada hidayah-Mu dengan cara yang tidak menyakitkan dan mengaibkan. Matikan aku seperti wafatnya junjunganku Nabi Muhammad SAW yang ditangisi dan dirindui.

Ya Rahman Ya Rahim. Alhamdulillah dengan rezeki yang Kau berikan. Biar sekecil mana habuannya, aku tetap bersyukur atas pemberian-Mu. Jangan digelapkan mataku untuk rezeki yang bukan milikku, yang bukan keredaan-Mu dan yang dikaut bukan untuk dikongsi.

Ringankan tanganku untuk memberi, untuk menghulur dan untuk menderma. Halakan seleraku untuk yang Kau halalkan dan bukan yang Kau haramkan dan laknati. Buka pintu hatiku untuk berbelanja ke arah-Mu dan agama-Mu.

Saudaraku bukan saja yang sedarah denganku, malah yang seagama denganku. Abadikan juga perhatian perjuanganku, rezekiku, kerjaku, doaku dan amalku untuk saudara seagama dan sebangsa.

Pinjaman senang yang kau salurkan padaku Ya Allah tidak bakal jadi penerang lahad ku nanti. Hanya amal, ibadat dan doa anak yang soleh rezeki pembela aku di sana.

Dengan mata yang masih tidak kabur pada usia ini Ya Allah, Kau tampakkan aku pada kemungkaran supaya aku simpangi. Celikkan aku pada kedaifan supaya dapat aku baiki. Bukakan mataku pada kesempitan orang supaya dapatku bantu.

Jadikan mata ini untuk melihat dan menjadi saksi kepada kesilapan diriku dan orang lain supaya dapatku tebus kesalahan sebelum mata ini menjadi kabur dan tutup buat selamanya.

Ya Ghafur, pelihara hidung ini, semoga ia boleh terus menghirup udara supaya aku terus bernafas. Supaya aku dapat menggerakkan tubuh ini ke arah-Mu.

Biar rongga ini terus menghidu bau Firdausi-Mu dan setanggi nur-Mu. Berilah deria ini kelebihan menghidu perjalanan ke arah-Mu kerana bau kebenaran adalah daripada-Mu jua.

Ya Rashid, peliharalah mulutku supaya dapat berzikir nama-Mu dan Rasul-Mu. Supaya bercakap benar untuk Pencipta yang aku takuti. Supaya tidak dicucur dengan api azab-Mu nanti.

Ya Allah, peliharalah kata-kataku supaya yang diucap bakal jadi ubat, yang ditutur bakal jadi penawar, yang diluah bakal jadi madu dan yang dikatakan bakal jadi perindu. Doaku semoga kasturi janji-Mu penyegar nafasku.

Ya Qayyum, puji-pujian ke atas-Mu yang membenarkan aku berdiri, berlari dan melangkah lagi walau pernah langkahku silap. Walau pernah langkahku sumbang. Walau pernah langkahku jelik. Kau beri lagi tulang dua kerat ini untukku hayunkan seirama usia matang ini.

Ya Allah, letakkan kakiku ini di landasan Mu supaya ia berjalan ke rumah-Mu, ke Raudhah-Mu, ke nur-Mu, ke sisi-Mu. Biar kaki ini jadi puas dibasahi wuduk untukku balut menyujud ke hadrat-Mu. Pesongkan kaki ini daripada mencecah kemurkaan-Mu, Ya Tuhan.

Ya Wahid. Pada ketika umurku setinggi ini, Kau masih benarkan tangan ini dihayun. Akan aku guna untuk angkat ke langit berdoa mendapatkan syafaat-Mu. Biar tinggi tanganku seperti yang Kau benarkan di Masyar dunia dengan izin-Mu dulu.

Tangan ini aku rasa seperti terlalu kecil untuk menampung rahmat-Mu yang besar. Berikan tangan ini deria rasa yang berkekalan supaya dapatku rasa gentelan tasbih mengahadkan diri-Mu.

Dengan izin-Mu jua, pada ketika ini tangan ini bisa memetik kekunci huruf di depanku untukku luah rasa syukurku. Tiada yang lebih Esa daripada diri-Mu.

Letakkan tanganku di atas untukku genggam tangan di bawah. Ringankan tanganku Ya Allah supaya tidak liat berkongsi rasa, senang, berkongsi harta yang Kau pinjamkan bersama yang tiada.

Pada usia ini terasa ingin tangan ini memeluk ayahku yang sudah bersama-Mu. Tangan yang dipimpin ayah ini dulu, kiniku angkat untukku doakan kebahagiaanmu di sana di sisi Pencipta-Nya.

Tangan inilah yang dibasuh ibuku dulu tanda menyuci diri. Sesuci kasih ibu, aku gunakan tulang ini juga untukku tadah ke hadrat-Mu, semoga Kau terima suci cinta ibuku kepada-Mu.

Ketukkan tangan ini ke kepalaku jika aku terlupa mendahulukannya. Ibu yang selalu mendahulukan aku daripada dirinya. Ya Tuhan, pelihara tangan ini supaya aku dapat terus berdoa untuk ibuku, harta besar pemberian-Mu.

Ya Tuhan pencipta sekalian alam. Ampunkan dosa terkumpulku yang kian tahun kian menggunung dan hapuskan terus menjelang aku menghadap-Mu. Aku terlalu takut pada seksaan-Mu, Ya Allah.

Kepada insan yang aku berhutang kemaafan, ampunkan aku jika aku meluka, mengguris dan menyakit kalian.

Atas doa sejahtera kalian juga aku masih berkesempatan diraikan untuk kesekian kalinya dengan nyalaan dian bertambah. Tiada kenangan buruk yang ingin aku abadikan melainkan yang manis semata.

Minda ini mungkin sudah terlalu lemah untuk mengingat yang menyakiti aku, yang menghunus rusukku, yang mengherdik telingaku, yang menyucuk mataku dan yang meracun semangatku.

Minda tua ini kian menguis rasa benci itu supaya disiram dengan rasa maaf, semoga kemaafan juga yang aku temui. Maafkan aku kawan, maafkan aku kanda dan dindaku. Maafkan aku semua. Ampunkan aku Tuhan!

Biar esok aku dilahirkan semula supaya bersedia untuk dikembalikan. Amin.

Monday, November 2, 2009

Red Bull tawan GP Abu Dhabi






ABU DHABI: Sebastian Vettel mengetuai rakannya dalam pasukan Red Bull, Mark Webber dari Australia dalam penyudah satu-dua dalam perlumbaan penutup musim Grand Prix Abu Dhabi, semalam dalam perlumbaan ‘siang-malam’ pertama dalam sejarah Formula Satu.

Pemandu Jerman berusia 22 tahun itu, dalam prestasi cemerlang di atas litar menakjubkan Yas Marina, mencuri kesempatan sepenuhnya daripada persaraan awal pemandu Britain, Lewis Hamilton akibat masalah brek dalam kereta McLaren Mercedes, untuk mengungguli kemenangan keempatnya tahun ini.

Ia penyudah satu-dua keempat pasukan Red Bull musim ini, menyamai rekod juara pasukan dunia yang baru dimahkotakan Brawn GP, yang juara pemandu dunianya dari Britain, Jenson Button menduduki tempat ketiga selepas pertarungan sengit dengan Webber di pusingan terakhir.

Keputusan itu mengesahkan Vettel menamatkan musim ini selaku naib juara dunia di belakang Button manakala Red Bull membuktikan mereka lebih daripada berhak untuk menduduki tempat kedua di belakang Brawn dalam kejuaraan pasukan.

Dalam perlumbaan bermula ketika matahari petang, tetapi berakhir di bawah sinaran lampu limpah, pemandu Brazil, Rubens Barrichello menduduki tempat keempat dalam apa yang dipercayai penampilan terakhirnya untuk Brawn.

Pemandu Jerman, Nick Heidfeld menandakan perlumbaan terakhir buat pasukan Sauber BMW, yang akan meninggalkan F1, dengan mencuri tempat kelima mengatasi pemandu Jepun, Kamui Kobayashi, yang meraih mata pertamanya dalam F1 bersama Toyota dalam hanya perlumbaan keduanya selepas menjadi pemandu pengganti. - AFP


Kedudukan keseluruhan - Pemandu:

1 Jenson Button (Jer) 95 mata

2 Sebastian Vettel (Jer) 84

3 Rubens Barrichello (Bra) 77

4 Mark Webber (Aus) 69.5

5 Lewis Hamilton (Gbr) 49



Pengeluar

1 Brawn 172 mata

2 Red Bull 153.5

3 McLaren 71

4 Ferrari 70

5 Toyota 59.5

ABU DHABI: Keputusan perlumbaan terakhir GP Formula 1 yang berlangsung hari Ahad adalah:

1. Sebastian Vettel (JER/Red Bull) 1jam 34min 03.414saat
2. Mark Webber (AUS/Red Bull) + 17.857saat
3. Jenson Button (GBR/Brawn) + 18.467s
4. Rubens Barrichello (BRA/Brawn) + 22.735s
5. Nick Heidfeld (JER/BMW Sauber) +26.253s
6. Kamui Kobayashi (JPN/Toyota) +28.343s
7. Jarno Trulli (ITA/Toyota) +34.366s
8. Sebastien Buemi (SWI/Toro Rosso) +41.294s
9. Nico Rosberg (JER/Williams) +45.941s
10. Robert Kubica (POL/BMW Sauber) +48.180s
11. Heikki Kovalainen (FIN/McLaren) +52.798s
12. Kimi Raikkonen (FIN/Ferrari) +54.317s
13. Kazuki Nakajima (JPN/Williams) +59.839s
14. Fernando Alonso (SEP/Renault) + 1min 09.687s
15. Vitantonio Liuzzi (ITA/Force India) +1:34.450
16. Giancarlo Fisichella (ITA/Ferrari) 1 pusingan
17. Adrian Sutil (JER/Force India) 1 pusingan
18. Romain Grosjean (PER/Renault) 1 pusingan.