Monday, December 31, 2012

Dhuha meraih rezeki


Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
28 Disember 2012 ~ Sinar Harian 


 Amalkanlah bersolat Dhuha sebelum memulakan langkah mencari rezeki. 


RUTIN hidup makhluk di bumi ini, apabila terbitnya matahari keluarlah mencari rezeki, namun ada juga sebahagian daripada mereka masih enak dibuai mimpi walaupun matahari tegak di kepala. Kita berusaha mencari rezeki dengan kudrat empat kerat kurniaan ALLAH SWT bagi mengisi perut yang kelaparan. 

Tahukah anda bahawa kita juga mempunyai ‘pelaris’ yang sememangnya datang daripada ALLAH. Solat Dhuha, syabas kepada hamba yang menjadikan ia sebagai amalan harian kerana ianya mempunyai banyak hikmah yang diberkati ALLAH. 

 Daripada Abu Dzar, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badan mu.  Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.” (Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud)


 


Solat lepas terbit matahari 

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang merangkap Penyelaras Pusat Perkembangan Kemahiran Insaniah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nabilah Yusof berkata, dari segi bahasa Dhuha bermaksud waktu pagi manakala sudut istilah pula, solat sunat yang dilakukan pada waktu pagi selepas 20 minit terbitnya matahari sehingga sebelum waktu Zuhur sama ada mengerjakannya dalam dua, empat, enam, lapan, 10 dan 12 rakaat bergantung kepada kemampuan individu tersebut. 

 “Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fiqah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing iaitu kira-kira dua meter. “Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. 

Justeru, batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang,” katanya kepada Rehal. Menurutnya, waktu yang terbaik dan afdal melakukannya ialah ketika sinar matahari kian panas. Kebiasaannya sesetengah individu melakukan solat Dhuha selepas waktu Syuruk. 

 Ulasan itu dikaitkan dengan sepotong hadis Nabi Muhammad SAW dari Zaid bin Arqam. Rasulullah menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” 

Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi). Nabi galak sunat Dhuha Nabilah berkata, solat sunat Dhuha boleh dianggap sebagai ucapan terima kasih hamba kepada penciptanya atas segala limpah rahmat yang diberikanNya. “Rasulullah tidak pernah meninggalkan solat ini sehinggalah Baginda ditimpa keuzuran. Baginda sendiri menggalakkan umat Islam supaya melakukan dan menjadikan ia sebagai amalan harian di pagi hari. 

 “Sepatutnya pagi kita perlulah dimulai dengan lafaz takbir, tasbih kepada ALLAH. Abu Hurairah pernah berkata: “Bahawa Rasulullah berwasiat kepadaku akan tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan witir sebelum tidur.” 

Hayatilah hadis ini kerana setiap perbuatan Rasulullah adalah sunnah,” katanya. 

Menurutnya, paling banyak rakaat sunat Dhuha yang dikerjakan Rasulullah ialah lapan rakaat dan paling banyak disabdakan Baginda ialah 12 rakaat. Paling sedikit boleh dikerjakan adalah dua rakaat. Bacaan surah yang dianjurkan Baginda Bacaan dianjurkan Baginda semasa menunaikan sunat Dhuha, selepas surah al-Fatihah, menurut hadis disampaikan Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim) 

Nabilah berkata, bacaan dalam solat ini sesuatu yang subjektif dan tidak rigid, tidak terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat itu diniatkan dengan betul, syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya. 

 “Boleh juga pada rakaat pertamanya, individu itu membaca ayatul Kursi kerana ayatul Kursi banyak keistimewaannya, semasa suruh itu diturunkan ribuan malaikat sebagai perantaranya. Dalamnya juga terkandung kursi (kerajaan) ALLAH yang besar meliputi tujuh lapisan langit dan bumi. Ada 95 buah hadis menerangkan fadhilat ayatul Kursi. “Di rakaat yang kedua bacalah surah al-Ikhlas kerana surah itu adalah 1/3 daripada al-Quran. Surah itu besar maknanya kerana mengandungi sifat ALLAH yang Esa dan siapa ALLAH sebenarnya iaitu tidak beranak juga tidak diperanakkan dan tidak ada yang serupa denganNya. 

 Dua surah ini sudah cukup bagi yang tidak menghafal surah yang disarankan,” ulasnya yang juga pendakwah bebas. 

 Namun, tidak ramai umat Islam kini yang menjadikan solat sunat Dhuha sebagai rutin kerana kurangnya perhatian terhadap ibadah sunnah, sebaliknya hanya mengejar yang wajib sahaja. Kalau setiap Muslim tahu akan ganjaran yang diperoleh hasil daripada ibadah sunnah, nescaya ramai yang berebut-rebut mengerjakannya. 

 Sekiranya mereka tahu bahawa rezeki ALLAH tidak hanya diperoleh melalui usaha semata-mata, sudah tentu mereka berlumba-lumba mengejar rezeki dengan cara solat dan doa melalui solat Dhuha. 


KELEBIHANNYA 

 -Diampuni dosa walau seluas lautan 

 -Dimurahkan rezeki 

 -Dijanjikan ganjaran syurga 

 -Dari Abu Hurairah dari Nabi , Baginda bersabda : “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan, “Dhuha.” Maka jika kamu datang hari kiamat kelak, serulah (malaikat) penyeru: manakah orang-orang yang telah mengerjakan solat Dhuha? Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam dengan rahmat ALLAH.”(Riwayat Tabrani) 

 -Menjadikan seseorang sentiasa bersyukur dengan limpahan nikmat ALLAH

Thursday, September 27, 2012

Membentras Kelemahan Dalaman

Tan Sri Mohamad Hashim Ali 

Sejarah penjajahan Melayu juga menyaksikan Britain menggunakan strategi yang menyerupai strategi perang amalan China. Antaranya, termasuk tiga strategi popular, iaitu: pertama, “menyelindungi senjata dalam senyuman”; kedua, “mengeruhkan air untuk mendapat ikan” dan ketiga, “membunuh/menewaskan Melayu dengan keris pinjaman”.

Britain menjajah Tanah Melayu dan menguasai ekonomi tanpa mengguna senjata, dengan kos paling rendah dan penjimatan besar tenaga dan modal. Teras strategi penjajahan Inggeris ialah meminjam dan mengguna Keris Di Raja lambang kuasa Melayu menguasai istana raja Melayu. Di samping mengekalkan kebesaran raja Melayu di mata rakyat, mereka bijak memaksa pelantikan “Penasihat” Inggeris oleh raja Melayu dengan “nasihat” yang wajib dilaksana dan dikuatkuasakan. Kebesaran raja Melayu dikekalkan Inggeris, sambil kuasa kerajaan diinggeriskan. Pintu tanah air juga dibuka luas untuk pelabur Barat dan kemasukan tenaga buruh migran. 

Setelah hampir enam dekad merdeka, impak penjajahan Inggeris yang berstrategi halus dan sofistikated masih mengesani pemikiran Melayu. Akibatnya ramai Melayu tidak mahu terima realiti dan masih khayal dengan mitos politik “ketuanan” ciptaan imaginasi mereka sendiri.

Mitos ini mudah tersemat dalam jiwa kerana antara lain, dulu penjajah dijadikan “tuan” setelah Melayu terpesona kehebatan uniform dan pedang mereka. Kini, setelah bebas merdeka, tidak hairan jika ramai Melayu berpendirian sesungguhnya Melayu adalah “Tuan”. Siapa yang tidak terpesona melihat budaya rasmi pemerintahan Melayu pasca merdeka dengan pakaian uniform lebih hebat daripada orang putih? Tambahan pula ada yang lengkap dengan pedang tersisip di pinggang dan dada dipenuhi darjah kebesaran, pingat dan bintang!

Dalam kegemerlapan istiadat rasmi, banyak kelemahan dalaman terlepas pandang. Salah satu yang mesti diatasi segera membabitkan Melayu menggadai atau langsung “menjual” kuasa. Terlalu lumrah Melayu membiarkan takhta, istana dan Keris lambang Di Raja dipinjam dan diguna orang lain. Selain itu, banyak kita lihat peristiwa kuasa politik disia-siakan. Pemimpin berjiwa kecil, lemah semangat, gila pangkat dan cinta kerusi kerap mengakibatkan Melayu kalah strategi. Terlalu banyak peristiwa membabitkan Melayu ditikam keris sendiri, setelah pemimpin taksub kompromi politik dan ekonomi hingga lupa amanah. Ada juga yang rakus dan rasuah!

Mencapai kemerdekaan tanpa perlu bertempur menentang kuasa penjajah juga membawa beberapa kesan negatif pada Melayu. Ia berlaku apabila, selain uniform, ciri dasar dan amalan pentadbiran penjajah dipanjangkan pemakaiannya jauh selepas merdeka, sekalipun janggal dan kontradiksi. Contoh paling mudah terdapat pada label “kakitangan” yang diwarisi dari penjajah. Label ini merendah darjat dan mengecil martabat insan pekerja sebangsa. Apabila di”kakitangan”kan, semua terbabit ibarat kurang sifat, iaitu tanpa muka dan kepala, tanpa hati dan jiwa, tanpa jati diri dan daya fikir sendiri. Kenapa pemakaiannya masih diteruskan?

Bahayanya, apabila rakyat terus berjiwa “kakitangan”, semua pantang-larang, termasuk yang haram, mudah dihalalkan. Segala salah laku, rasuah dan korupsi lebih senang didiamkan, atas alasan menurut perintah atasan.

“Kakitangan” wajib merendah diri, berdisiplin santun dan berbahasa setia setiap masa. Mana yang ingkar, ikhlas cuba menentang, dijadikan umpama bendul lurus melintang: dilangkah, dipijak, dilanggar dan dilanyak.

“Kakitangan” atasan yang lurus menegak, tegas atas dasar prinsip dan iman, juga tidak terlepas daripada cengkaman. Ramai yang dijadikan galah: diguna orang berpangkat dan berkuasa menjolok emas dan harta.

Tuesday, August 7, 2012

Nuzul al-Quran dan Lailatul Qadar

Oleh; Dr. Samsu Adabi Mamat
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Universiti Kebangsaan

Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)


Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.


Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran

2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.

3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.


Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT,

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan.

Monday, April 16, 2012

SATE....

Di dalam kehidupan kita sehari-hari, kita memang tidak pernah terlepas dari umpatan, perli, musuh dalam selimut dan hasad dengki, tidak kira samada kita seorang bos, pekerja, kuli atau anggota masyarakat. Namun apa yang penting adalah kita perlu melihat masa depan kita dan teruskan perjalanan hidup kita supaya kita sentiasa mencapai kejayaan yang kita impikan...

Apa yang penting adalah kita perlu menjalankan tugas kita seperti yang diamanahkan. Janganlah kita menjadi atau mengikut etika SATE. Satu menu makanan yang sememangnya enak untuk dinikmati, tetapi mempunyai maksud yang tersirat disebaliknya...

Apa yang dimaksudkan dengan etika SATE ialah ...ramas, cucuk, bakar, tambah minyak dan kipas.. Sekiranya kita dapat menghindarkan etika ini, sudah pasti kita akan dapat menghindarkan perasaan hasad dengki dan iri di dalam diri kita... Renungkanlah...

Titanic 3D

Thursday, February 16, 2012

Di antara rasa cinta dan benci

Oleh: NORDEN MOHAMED

Dari mana datangnya lintah? Dari sawah turun ke kali. Dari mana datangnya cinta? Dari mata turun ke hati. Begitulah indahnya pantun Melayu yang membicarakan dari mana datangnya cinta. Pantun ini memang ada benarnya.

Biasanya cinta bermula dari pandangan mata, iaitu pandangan lahiriah. Manusia umumnya memang lemah mata hatinya. Pandangan pertama yang memperlihatkan wajah dan tubuh yang berkenan di hati akan melahirkan rasa ingin memiliki apa yang disukainya.

Maka terjadilah rasa jatuh cinta yang dikenali sebagai cinta pandang pertama. Namun, ada juga cinta yang lahir dari pandangan yang ke sepuluh atau yang ke dua puluh. Ini terjadi bukan semata-mata kerana sukakan fizikalnya.

Sebaliknya rasa cinta itu lahir kerana menyukai sesuatu yang lebih daripada fizikal orang yang dicintai. Ia mungkin kerana sukakan kebijaksanaan dan pendirian orang yang disukai, iaitu mentalnya.

Ia boleh juga kerana tertarik dengan sikap keprihatinan, tanggungjawab atau kelembutan yang diminati, iaitu spiritualnya. Indahnya rasa apabila insan yang diminati itu membalas cinta seseorang.

Apabila kedua-dua mereka jatuh cinta, maka terjadilah saat-saat bila mata bertentang mata, lidah kelu untuk berkata. Oleh kerana terlalu kagum dan takjub seseorang itu terhadap kekasihnya, hatinya akan menguasai fikiran.

Akibatnya, orang yang jatuh cinta itu sudah tidak boleh berfikir lagi hinggakan lidahnya tidak boleh berkata-kata. Mulai saat itu, seseorang yang menyintai itu mula memuja, mengenang, merindu dan mendambakan kehadiran kekasihnya pada setiap ketika.

Tiada lagi yang akan memisahkan. Andainya berjauhan, lautan api sanggup direnangi untuk bertemu dengan kekasih hati. Tiada lagi yang buruk mengenai orang yang disayangi.

‘Kalau hati sudah suka, semua indah saja, itulah tanda kasih akan bermula, di dalam jiwa.’ Demikian dapat disimpulkan rasa hati seseorang yang di alam percintaan menerusi lagu Tanda Kasih, nyanyian Ahmad Mahmud dan Rahmah Rahmat.

Tentu sekali cinta itu bukan sahaja tertumpu kepada cinta seseorang terhadap kekasihnya. Ia boleh juga dilihat dalam konteks cinta seseorang terhadap ibubapa, negara, kerjaya mahupun hobinya. Pendek kata, cinta itu melahirkan kesabaran, ketenangan dan kebenaran. Ia juga merealisasikan mimpi kepada impian yang membawa harapan.

Bagaimana pula timbulnya benci? Seseorang itu mula membenci bila rasa was-was dan ragu mula membenih di dalam hati. Janji yang tidak ditepati, cakap tidak serupa bikin dan perangai tunjuk belang yang muncul akan menimbulkan rasa tidak senang.

Perasaan syak akan berubah menjadi prasangka. Perselisihan faham akan mula terjadi. Ia akan berubah menjadi perbalahan, pertengkaran, pergeseran dan akhirnya pergaduhan.

Apabila ini terjadi, rasa cinta akan menjadi tawar hingga akhirnya wajah pasangan yang suka ditatap itu akan dipandang dengan rasa benci. Andainya percintaan itu membuatkan seseorang itu hanya bercakap perkara yang baik terhadap orang yang disayang, rasa benci pula membuatkan seseorang itu memperkatakan perkara yang buruk-buruk sahaja mengenai pasangannya.

Seolah-olah orang yang dibencinya itu tidak pernah melakukan apa jua kebaikan terhadapnya. Dalam konteks yang lebih luas, rasa kebencian terhadap bekas kekasih, bekas tabiat, bekas kumpulan mahupun bekas organisasi akan dimanifestasi dengan ayat-ayat yang pedas dan pahit semata-mata untuk menjustifikasi tindakan dia memisahkan diri akibat kebenciannya.

Semakin banyak kata-kata kebencian yang terhambur, semakin meningkatlah keyakinan diri bahawa keputusannya untuk membenci itu adalah suatu tindakan tepat.

Cinta dan benci hanyalah state of mind. Sama ada kita menpsycho diri untuk menyukai atau membenci, ia terpulang kepada apakah kehendak kita terhadap sesuatu. Ia boleh dikendalikan apabila kita berpada-pada menyintai mahupun membenci. Dari mana datangnya cinta? Dari mata turun ke hati. Dari mana datangnya benci? Dari hati naik ke mata.

- www.sinarharian.com.my

Sunday, February 12, 2012