Tan Sri Mohamad Hashim Ali
Sejarah penjajahan Melayu juga menyaksikan Britain menggunakan strategi yang menyerupai strategi perang amalan China. Antaranya, termasuk tiga strategi popular, iaitu: pertama, “menyelindungi senjata dalam senyuman”; kedua, “mengeruhkan air untuk mendapat ikan” dan ketiga, “membunuh/menewaskan Melayu dengan keris pinjaman”.
Britain menjajah Tanah Melayu dan menguasai ekonomi tanpa mengguna senjata, dengan kos paling rendah dan penjimatan besar tenaga dan modal. Teras strategi penjajahan Inggeris ialah meminjam dan mengguna Keris Di Raja lambang kuasa Melayu menguasai istana raja Melayu. Di samping mengekalkan kebesaran raja Melayu di mata rakyat, mereka bijak memaksa pelantikan “Penasihat” Inggeris oleh raja Melayu dengan “nasihat” yang wajib dilaksana dan dikuatkuasakan. Kebesaran raja Melayu dikekalkan Inggeris, sambil kuasa kerajaan diinggeriskan. Pintu tanah air juga dibuka luas untuk pelabur Barat dan kemasukan tenaga buruh migran.
Setelah hampir enam dekad merdeka, impak penjajahan Inggeris yang berstrategi halus dan sofistikated masih mengesani pemikiran Melayu. Akibatnya ramai Melayu tidak mahu terima realiti dan masih khayal dengan mitos politik “ketuanan” ciptaan imaginasi mereka sendiri.
Mitos ini mudah tersemat dalam jiwa kerana antara lain, dulu penjajah dijadikan “tuan” setelah Melayu terpesona kehebatan uniform dan pedang mereka. Kini, setelah bebas merdeka, tidak hairan jika ramai Melayu berpendirian sesungguhnya Melayu adalah “Tuan”. Siapa yang tidak terpesona melihat budaya rasmi pemerintahan Melayu pasca merdeka dengan pakaian uniform lebih hebat daripada orang putih? Tambahan pula ada yang lengkap dengan pedang tersisip di pinggang dan dada dipenuhi darjah kebesaran, pingat dan bintang!
Dalam kegemerlapan istiadat rasmi, banyak kelemahan dalaman terlepas pandang. Salah satu yang mesti diatasi segera membabitkan Melayu menggadai atau langsung “menjual” kuasa. Terlalu lumrah Melayu membiarkan takhta, istana dan Keris lambang Di Raja dipinjam dan diguna orang lain. Selain itu, banyak kita lihat peristiwa kuasa politik disia-siakan. Pemimpin berjiwa kecil, lemah semangat, gila pangkat dan cinta kerusi kerap mengakibatkan Melayu kalah strategi. Terlalu banyak peristiwa membabitkan Melayu ditikam keris sendiri, setelah pemimpin taksub kompromi politik dan ekonomi hingga lupa amanah. Ada juga yang rakus dan rasuah!
Mencapai kemerdekaan tanpa perlu bertempur menentang kuasa penjajah juga membawa beberapa kesan negatif pada Melayu. Ia berlaku apabila, selain uniform, ciri dasar dan amalan pentadbiran penjajah dipanjangkan pemakaiannya jauh selepas merdeka, sekalipun janggal dan kontradiksi. Contoh paling mudah terdapat pada label “kakitangan” yang diwarisi dari penjajah. Label ini merendah darjat dan mengecil martabat insan pekerja sebangsa. Apabila di”kakitangan”kan, semua terbabit ibarat kurang sifat, iaitu tanpa muka dan kepala, tanpa hati dan jiwa, tanpa jati diri dan daya fikir sendiri. Kenapa pemakaiannya masih diteruskan?
Bahayanya, apabila rakyat terus berjiwa “kakitangan”, semua pantang-larang, termasuk yang haram, mudah dihalalkan. Segala salah laku, rasuah dan korupsi lebih senang didiamkan, atas alasan menurut perintah atasan.
“Kakitangan” wajib merendah diri, berdisiplin santun dan berbahasa setia setiap masa. Mana yang ingkar, ikhlas cuba menentang, dijadikan umpama bendul lurus melintang: dilangkah, dipijak, dilanggar dan dilanyak.
“Kakitangan” atasan yang lurus menegak, tegas atas dasar prinsip dan iman, juga tidak terlepas daripada cengkaman. Ramai yang dijadikan galah: diguna orang berpangkat dan berkuasa menjolok emas dan harta.