Monday, December 31, 2012

Dhuha meraih rezeki


Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
28 Disember 2012 ~ Sinar Harian 


 Amalkanlah bersolat Dhuha sebelum memulakan langkah mencari rezeki. 


RUTIN hidup makhluk di bumi ini, apabila terbitnya matahari keluarlah mencari rezeki, namun ada juga sebahagian daripada mereka masih enak dibuai mimpi walaupun matahari tegak di kepala. Kita berusaha mencari rezeki dengan kudrat empat kerat kurniaan ALLAH SWT bagi mengisi perut yang kelaparan. 

Tahukah anda bahawa kita juga mempunyai ‘pelaris’ yang sememangnya datang daripada ALLAH. Solat Dhuha, syabas kepada hamba yang menjadikan ia sebagai amalan harian kerana ianya mempunyai banyak hikmah yang diberkati ALLAH. 

 Daripada Abu Dzar, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badan mu.  Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.” (Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud)


 


Solat lepas terbit matahari 

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang merangkap Penyelaras Pusat Perkembangan Kemahiran Insaniah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nabilah Yusof berkata, dari segi bahasa Dhuha bermaksud waktu pagi manakala sudut istilah pula, solat sunat yang dilakukan pada waktu pagi selepas 20 minit terbitnya matahari sehingga sebelum waktu Zuhur sama ada mengerjakannya dalam dua, empat, enam, lapan, 10 dan 12 rakaat bergantung kepada kemampuan individu tersebut. 

 “Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fiqah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing iaitu kira-kira dua meter. “Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. 

Justeru, batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang,” katanya kepada Rehal. Menurutnya, waktu yang terbaik dan afdal melakukannya ialah ketika sinar matahari kian panas. Kebiasaannya sesetengah individu melakukan solat Dhuha selepas waktu Syuruk. 

 Ulasan itu dikaitkan dengan sepotong hadis Nabi Muhammad SAW dari Zaid bin Arqam. Rasulullah menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” 

Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi). Nabi galak sunat Dhuha Nabilah berkata, solat sunat Dhuha boleh dianggap sebagai ucapan terima kasih hamba kepada penciptanya atas segala limpah rahmat yang diberikanNya. “Rasulullah tidak pernah meninggalkan solat ini sehinggalah Baginda ditimpa keuzuran. Baginda sendiri menggalakkan umat Islam supaya melakukan dan menjadikan ia sebagai amalan harian di pagi hari. 

 “Sepatutnya pagi kita perlulah dimulai dengan lafaz takbir, tasbih kepada ALLAH. Abu Hurairah pernah berkata: “Bahawa Rasulullah berwasiat kepadaku akan tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan witir sebelum tidur.” 

Hayatilah hadis ini kerana setiap perbuatan Rasulullah adalah sunnah,” katanya. 

Menurutnya, paling banyak rakaat sunat Dhuha yang dikerjakan Rasulullah ialah lapan rakaat dan paling banyak disabdakan Baginda ialah 12 rakaat. Paling sedikit boleh dikerjakan adalah dua rakaat. Bacaan surah yang dianjurkan Baginda Bacaan dianjurkan Baginda semasa menunaikan sunat Dhuha, selepas surah al-Fatihah, menurut hadis disampaikan Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim) 

Nabilah berkata, bacaan dalam solat ini sesuatu yang subjektif dan tidak rigid, tidak terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat itu diniatkan dengan betul, syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya. 

 “Boleh juga pada rakaat pertamanya, individu itu membaca ayatul Kursi kerana ayatul Kursi banyak keistimewaannya, semasa suruh itu diturunkan ribuan malaikat sebagai perantaranya. Dalamnya juga terkandung kursi (kerajaan) ALLAH yang besar meliputi tujuh lapisan langit dan bumi. Ada 95 buah hadis menerangkan fadhilat ayatul Kursi. “Di rakaat yang kedua bacalah surah al-Ikhlas kerana surah itu adalah 1/3 daripada al-Quran. Surah itu besar maknanya kerana mengandungi sifat ALLAH yang Esa dan siapa ALLAH sebenarnya iaitu tidak beranak juga tidak diperanakkan dan tidak ada yang serupa denganNya. 

 Dua surah ini sudah cukup bagi yang tidak menghafal surah yang disarankan,” ulasnya yang juga pendakwah bebas. 

 Namun, tidak ramai umat Islam kini yang menjadikan solat sunat Dhuha sebagai rutin kerana kurangnya perhatian terhadap ibadah sunnah, sebaliknya hanya mengejar yang wajib sahaja. Kalau setiap Muslim tahu akan ganjaran yang diperoleh hasil daripada ibadah sunnah, nescaya ramai yang berebut-rebut mengerjakannya. 

 Sekiranya mereka tahu bahawa rezeki ALLAH tidak hanya diperoleh melalui usaha semata-mata, sudah tentu mereka berlumba-lumba mengejar rezeki dengan cara solat dan doa melalui solat Dhuha. 


KELEBIHANNYA 

 -Diampuni dosa walau seluas lautan 

 -Dimurahkan rezeki 

 -Dijanjikan ganjaran syurga 

 -Dari Abu Hurairah dari Nabi , Baginda bersabda : “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan, “Dhuha.” Maka jika kamu datang hari kiamat kelak, serulah (malaikat) penyeru: manakah orang-orang yang telah mengerjakan solat Dhuha? Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam dengan rahmat ALLAH.”(Riwayat Tabrani) 

 -Menjadikan seseorang sentiasa bersyukur dengan limpahan nikmat ALLAH