Monday, May 11, 2009

meet uncle husin in my night mare...

p/s: takotttttttt...


GP Sepanyol: Pemandu Brawn GP kukuhkan kedudukan di tangga teratas



BARCELONA - Jenson Button meraih gelaran juara keempatnya musim ini selepas mengetuai kejayaan 1-2 Brawn GP pada perlumbaan Grand Prix Sepanyol, semalam.

Selepas menjuarai GP Australia, Malaysia dan Bahrain sebelum ini, Button menambah koleksi kejuaraannya itu daripada lima perlumbaan yang sudah berlangsung.


Hanya di GP China sahaja, pelumba dari Britain itu gagal melakukannya. Kemenangan semalam mengukuhkan kedudukan Button selaku pendahulu keseluruhan.

Rakan sepasukan Button, Ruben Barrichello menduduki tempat kedua dengan ketinggalan 13 saat di belakang diikuti pelumba Red Bull, Mark Webber, ketiga.

Buat tahun kesembilan berturut-turut, pelumba petak depan menjuarai GP Sepanyol tetapi bagi pelumba tuan rumah, Fernando Alonso hanya menang sorak.

Alonso yang memandu Renault hanya mampu menduduki tempat kelima di belakang Sebastian Vettel dari pasukan Red Bull.

Malang berterusan buat Ferrari apabila Felipe Massa yang di awal saingan nampak akan menaiki podium gagal mengekalkan rentak untuk sekadar menduduki tempat keenam.


Pada satu ketika, Massa mendahului jauh di depan selepas hentian pit pertama tetapi kemudiannya terpaksa memperlahankan jenteranya untuk menjimatkan minyak akibat silap strategi.

Rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen yang muncul juara di sini tahun lalu gagal menamatkan perlumbaan manakala Lewis Hamilton di tempat kesembilan.

Button kini 14 mata di depan Barrichello dalam kedudukan pelumba keseluruhan manakala pasukan mereka, Brawn GP menguasai kedudukan kategori pengeluar.

Friday, May 1, 2009

Button kuasai GP Bahrain



SAKHIR, Bahrain - Pelumba Brawn GP, Jenson Button mengungguli perlumbaan kereta Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain semalam - kejuaraan ketiga yang diraihnya daripada empat perlumbaan musim ini.

Walaupun memulakan saingan di petak keempat, Button yang sebelum ini menjuarai GP Australia dan Malaysia berjaya mengetepikan pelumba Red Bull, Sebastian Vettel di tempat kedua dan Jarno Trulli dari Toyota ketiga.

"Kemenangan ini adalah yang terbaik daripada beberapa kemenangan sebelum ini kerana di sini kami tidak memiliki jentera yang cukup kompetitif.

"Memang kami tidak cukup kuat untuk bersaing dan terpaksa bertungkus-lumus," katanya sambil merujuk peningkatan yang semakin ketara ditunjukkan pencabar lain.

Nasib ternyata menyebelahi Button apabila kesilapan strategi dua pelumba Toyota, Trulli dan Timo Glock yang menguasai dua petak paling depan sebelum itu memakan diri.

Glock yang bermula di petak kedua, pantas memintas rakan sepasukannya, Trulli sebaik perlumbaan dimulakan sehinggalah insiden pada hentian pit pertama memakan diri Toyota.

Kesilapan Toyota menukar tayar menggunakan jenis medium membolehkan Button mengambil alih kedudukan pendahulu pada lap ke-13.

Selepas itu Button tidak menoleh ke belakang lagi terus menguasai sehingga berakhirnya perlumbaan 57 lap itu.

Vettel yang menjuarai GP China minggu lalu berada 7.1 saat di belakang Button yang mencatat masa keseluruhan 1jam 31min 48.182 saat.

Mujur Trulli menyelamatkan maruah Toyota yang sudah tersilap langkah dengan menduduki tempat ketiga pada perlumbaan di Litar Sakhir itu.

Kemenangan Button, 29, tersebut membolehkan pelumba dari Britain itu mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan.

Buat pertama kalinya semalam, dua pasukan gergasi, McLaren dan Ferrari meraih mata berharga mereka musim ini selepas juara bertahan, Lewis Hamilton menduduki tempat keempat manakala Kimi Raikkonen di tempat keenam.