Sunday, April 19, 2009

Red Bull 1-2

Vettel, Webber takluk Litar Shanghai




AKSI Vettel ketika mengambil selekoh sambil diekori rapat Button dalam saingan di Litar Antarabangsa Shanghai. Vettel (gambar kecil) menjulang trofi juara.

SHANGHAI: Sebastian Vettel membolehkan pasukan Red Bull menikmati kemenangan buat julung kalinya dalam Formula Satu selepas mendahului sejak mula untuk mengungguli perlumbaan Grand Prix China dalam keadaan litar basah, semalam.

Vettel melakar kemenangan kedua dalam kerjayanya, menang dengan kelebihan 10.9 saat mengatasi rakan sepasukan, Mark Webber, yang juga mencatat pencapaian terbaik peribadinya.

Pendahulu senarai pelumba, Jenson Button, daripada pasukan Brawn GP menduduki tempat ketiga di Litar Antarabangsa Shanghai, sekali gus melebarkan kelebihan selepas tiga perlumbaan kepada enam mata.

Rakan sepasukan Button, Rubens Barrichello, menduduki tempat keempat apabila berjaya mengekang dua pelumba McLaren, Heikki Kovalainen dan Lewis Hamilton, yang hanya membuat satu hentian pit seperti pemandu Toyota di tempat ketujuh, Timo Glock.

Penguasaan satu dua Red Bull adalah hasil kemampuan krew pasukan itu, yang terpaksa menangani masalah driveshaft mengganggu jentera dan mengehadkan cubaan ketika sesi kelayakan, kelmarin.

"Saya amat-amat gembira," kata Vettel - satu-satunya kemenangan dilakarnya sebelum ini ialah dalam keadaan cuaca sama di Itali, tahun lalu.

"Jentera kami memang menakjubkan. Pasukan melakukan tugas yang amat hebat untuk menyiapkan jentera. Kami berjaya menemui masalahnya. Itu jadi bukti terhadap kualiti yang dimiliki oleh pasukan ini."

Ia adalah perlumbaan ketiga berturut-turut musim ini di mana penguasa petak hadapan berjaya muncul pemenang.

Ferrari sekali lagi tidak berjaya meraih mata, dengan jentera Felipe Massa rosak ketika Kimi Raikkonen berhempas pulas di kelompok pertengahan sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.

Ia adalah kali pertama sejak 1981 betapa Ferrari sudah mengharungi tiga perlumbaan tetapi masih belum meraih sebarang mata.



Monday, April 6, 2009

Sunday, April 5, 2009

Button juara Grand Prix Malaysia



SEPANG: Pemandu Brawn GP, Jenson Button, diisytiharkan juara Grand Prix Malaysia Petronas 2009 selepas perlumbaan itu terpaksa dihentikan pada pusingan ke-32 akibat hujan lebat.

Kemenangan itu adalah yang kedua berturut-turut diraih Button selepas menjuarai GP Australia di Melbourne, minggu lalu. Naib juara pula dimenangi pemandu BMW Sauber, Nick Heidfeld, manakala Timo Glock dari Toyota mendapat tempat ketiga.

Perlumbaan Formula Satu (F1) itu yang sepatutnya berakhir dengan saingan penuh 56 pusingan, dihentikan tepat jam 6.52 petang oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dengan memberi separuh mata kepada pemenang kerana ia ditamatkan sebelum 75 peratus saingan sebenar berakhir.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah; Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, turut menyaksikan perlumbaan itu. Bercakap kepada pemberita, Najib berkata, Malaysia akan meminta jadual perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang dikaji semula supaya diadakan lebih awal, berbanding bermula 5 petang semalam.

"Kita terima jadual hari ini (semalam), tapi akan menentukan pada masa lain sama ada ia patut diadakan lebih awal," katanya. Najib berkata, memang ada cadangan untuk mengadakan perlumbaan berkenaan pada waktu malam, tetapi soal kos perlu dilihat secara terperinci.

Mengenai perasaannya apabila hadir sebagai Perdana Menteri buat kali pertama menyaksikan perlumbaan berkenaan, beliau berkata: "Ia adalah baik." Sementara itu, Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Mokhzani Mahathir, berkata pihaknya akan mengkaji semula masa bagi perlumbaan tahun depan.

"Kita sudah berbincang dengan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Pengurusan Formula Satu (FOM). Malah saya sempat berbincang dengan Bernie Ecclestone tadi," katanya.