Saturday, August 9, 2008

Olimpik bermula




BEIJING: Sukan Olimpik ke-29 dibuka secara rasmi, malam tadi, dalam upacara penuh gilang- gemilang dengan kontinjen Malaysia memburu misi menunaikan harapan menggapai kilauan pingat emas sulung. Kontinjen negara ditunjangi 33 atlit yang berpakaian baju kebangsaan kuning keemasan, berarak masuk ke Stadium ‘Sarang Burung’, diketuai pelumba basikal, Azizulhasni Awang, selaku pembawa Jalur Gemilang. Harapan utama negara untuk menamatkan penantian emas pada Sukan Olimpik kali ini disandarkan kepada skuad badminton negara, terutama Lee Chong Wei yang akan membawa cabaran dalam acara perseorangan lelaki.

Turut memiliki peluang dalam saingan sukan paling berprestij dunia itu ialah dua beregu lelaki, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, selain harapan pingat kepada skuad memanah, pelumba berbasikal dan atlit taekwondo negara. Temasya Olimpik di Beijing kali ini, dengan kos penganjuran dianggarkan AS$40 bilion (RM128 bilion), dibuka secara rasmi oleh Presiden China, Hu Jintao, disaksikan lebih 90,000 penonton selain kira-kira empat bilion penonton televisyen seluruh dunia. Obor temasya itu dinyalakan bekas ratu gimnastik tuan rumah, Li Ning, yang meraih tiga pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles.


Upacara itu bermula dengan acara pembukaan selama sejam penuh warna warni, diilhamkan pengarah filem terkenal, Zhang Yimou, yang mempersembahkan sejarah penubuhan China daripada zaman dinasti awal sehingga menjadi kuasa utama dunia ketika ini. Ia diikuti perarakan masuk lebih 5,000 atlit daripada 204 negara bermula dengan kontinjen negara penganjur temasya sebelumnya, Greece, diselangi pertunjukan mercun dan bunga api. Upacara pembukaan itu turut dihadiri ketua negara, termasuk Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan Perdana Menteri Russia, Vladimir Putin. Temasya berlangsung selama 17 hari itu bakal menyaksikan saingan merebut 202 pingat emas daripada 28 jenis sukan yang dipertandingkan.

No comments: