Monday, June 8, 2009

Button terus kukuh cengkaman






ISTANBUL: Pemandu Britain, Jenson Button mengekalkan kelebihan miliknya di persada kutipan mata kejuaraan dunia dengan mengumpul lebih 20 mata mengatasi pesaingnya selepas menang selesa perlumbaan Grand Prix Turki, malam tadi.

Pemandu berusia 29 tahun itu sekali lagi menampilkan kehebatannya bersama jentera Brawn GP, meraih kemenangan keenam dalam tujuh perlumbaan musim ini dengan mencipta perlumbaan lancar dan terancang. Diberikan kedudukan pendahulu pada pusingan perlumbaan apabila pelumba Jerman, Sebastian Vettel yang bermula dari petak depan melakukan kesilapan selepas sedikit terbabas ketika memecut, Button mengambil alih kawalan dan mencipta pemanduan dengan sempurna untuk merakam kemenangan ketujuh sepanjang kariernya yang kembali bermula.

Saingan kali ini juga menyaksikan buat kali pertama dalam lima perlumbaan di GP Turki, pemandu yang bermula di petak depan, gagal muncul pemenang dalam saingan sebanyak 58 pusingan itu. Vettel kembali memperbaiki kedudukan daripada kesilapan awalnya dan selepas menukar strategi, dia bersaing untuk akhirnya berkedudukan ketiga di belakang rakan sepasukan dari Red Bull, pemandu Australia, Mark Webber yang berkedudukan kedua, 20 saat di belakang Button. Vettel melangkah ke podium di depan pemandu Itali, Jarno Trulli bersama Toyota, diikuti pemandu Jerman, Nico Rosberg yang memandu Williams kelima serta pemandu Brazil, Felipe Massa keenam bersama Ferrari.

Pemandu Poland, Robert Kubica mengesahkan kebangkitan semula BMW Sauber selepas permulaan mengecewakan pada awal musim apabila menamatkan saingan di tangga ketujuh di depan seorang lagi pemandu Toyota dari Jerman, Timo Glock. Kemenangan Button ialah yang keempat berturut-turut dan mengumpul 61 mata dalam carta pemandu, 26 mata berbanding pencabar terdekatnya yang juga rakan sepasukan di Brawn, Rubens Barrichello dari Brazil, yang melakukan permulaan buruk sebelum terkeluar dari perlumbaan.







No comments: