Tuesday, December 15, 2009

LOTUS F1 TEAM

TENAGA utama Lotus F1 Racing (dari kiri) Riad Asmat, Datuk Kamarudin Mernanun, Kovalainen, Datuk Tony Fernandes, Trulli, Fairuz, SM Nasarudin SM Nasimuddin dan Zahri Ismail pada sidang media pengumuman pemandu Lotus F1 Racing.

Pemandu Itali, Finland itu diumum pelumba utama, Fairuz sebagai pelumba simpanan

TANPA mahu meletakkan sasaran tinggi, dua pelumba pasukan Formula Satu Malaysia, Lotus F1 Racing, menegaskan misi mereka adalah memastikan dapat bermula baik pada musim 2010 bermula di Litar Sakhir, Bahrain, Mac ini.

Pelumba Itali, Jarno Trulli dan Heikki Kovalainen dari Finland menegaskan betapa kehadiran mereka dilihat penting untuk pasukan Malaysia yang baru dibentuk, terutama dalam memastikan mampu memberi saingan terpuji.



Trulli yang memandu jentera Toyota musim lalu dengan rekod 216 perlumbaan sejak 1997, berkata misinya ketika ini adalah menggunakan sepenuhnya pengalaman bagi memastikan pasukan dapat berlumba dengan baik dari awal musim.

“Apabila menandatangani kontrak tiga tahun, kami sudah arif terhadap hakikat bahawa ini adalah pasukan yang dibentuk daripada sifar. Jadi kita tidak boleh meletakkan sasaran tinggi.

“Kita jangkakan peringkat awal sehingga enam bulan pertama menjadi satu tempoh yang sukar buat Lotus F1 Racing ini. Namun, dengan pasukan dan pengurusan yang mantap kita berharap dapat memberi saingan bermakna dalam tempoh singkat,” katanya.

Kovalainen yang beraksi seiring dengan Lewis Hamilton dalam pasukan McLaren bagi musim 2009, berkata pasukan ini tidak mahu berangan mengejar suatu yang sukar digapai terutama menyaingi pasukan ternama seperti McLaren atau Ferrari.

“Kami perlu realistik kerana ini pasukan baru dan banyak perlu dilakukan. Kita tidak harus buang masa dan tenaga dengan meletakkan sasaran tinggi tetapi apa yang penting perlu segera memastikan mampu bersaing dalam tempoh singkat,” katanya.


Sementara itu, Prinsipal Pasukan, Datuk Seri Tony Fernandes berkata, pengumuman pelumba berpengalaman ini menjadi detik terpenting untuk pasukan dan pelumba ini dijangka akan dapat menguji jentera masing-masing pada Januari depan.

No comments: