Monday, October 6, 2008

A1 Team Malaysia Ungguli Perlumbaan A1GP

KUALA LUMPUR, 5 Okt - Ia merupakan permulaan musim Kejohanan A1GP yang cukup cemerlang buat pasukan A1 Team Malaysia di Zandvoort, Belanda hari ini apabila Fairuz Fauzy mendominasi perlumbaan Sprint, menggunakan jentera baru A1GP dengan enjin Ferrari untuk memenangi siri pertama perlumbaan musim ini.

Pusingan pembukaan bagi 10 acara siri A1GP berlangsung di litar Belanda hari ini, dan hujan lebat tidak menghalang litar lumba itu dibanjiri peminat sukan permotoran untuk menyaksikan kehebatan Fauzy.Pasukan Malaysian bermula dari grid keempat selepas berjaya mempamerkan prestasi hebat pada sesi kelayakan semalam. Kereta keselamatan digunakan dari permulaan lumba ekoran cuaca buruk, namun bendera hijau bagi memulakan perlumbaan mulai dikibarkan selepas dua pusingan.

Fauzy naik selangkah di hadapan selepas kereta pasukan Ireland terkandas pada awal perlumbaan, namun beliau dipintas oleh pasukan Switzerland selepas beberapa pusingan kemudian.Fauzy kemudian kembali dengan saingan hebat untuk menduduki tempat ketiga di separuh perlumbaan, dan dengan pengalamannya yang luas, beliau berupaya memintas pasukan Belanda untuk berada di tempat kedua kemudiannya.


Dengan berbaki empat pusingan Fauzy kemudiannya terus memburu pendahulu dari New Zwaland, dan berjaya memintasnya dalam satu pergerakan yang cukup cantik, membolehkan beliau menamatkan perlumbaan di tempat pertama."Saya amat gembira dengan kemenangan ini. Ia merupakan saingan yang amat sengit dan keadaan litar yang cukup sukar hari ini menjadikan ia tambah mencabar untuk memandu kereta baru ini, tapi kami sudah bekerja keras sebagai satu pasukan, sekarang masa untuk meraikannya," katanya.

"Saya berharap kami dapat perolehi lebih banyak kejayaan lagi selepas ini, tapi jika keadaan cuaca berterusan begini ia akan menampilkan cabaran yang bertambah besar untuk semua," tambahnya.Sementara itu Ketua Eksekutif pasukan A1 Team Malaysia Jack Cunningham turut menyuarakan rasa gembira dengan persembahan pasukan itu yang cukup cemerlang dalam perlumbaan hari ini."Setiap anggota memberikan komitmen penuh dalam menyediakan kereta baru itu.

Fairus memandu dengan cukup cemerlang, semasa keadaan cuaca yang tidak banyak membantu. Saya berterima kasih kepada setiap anggota pasukan dan juga rakan kongsi komersil kami yang banyak menyokong," katanya.

No comments: