Saturday, October 25, 2008

Kalau hari ini kita sudah berjaya.........


Kalau hari ini kita sudah berjaya, kadang-kadang kita lupa apa yang kita dah buat semalam. kalau hari ini kita gagal, kadang-kadang kita tak ingat apa yang dah kita buat semalam.

Kata orang kalau nak berjaya, jalan terus sahaja ke hadapan. lupakan apa yang dah kita tinggal di belakang. menolehlah kalau mahu tapi jangan sekali-kali berundur.

Kata bijaksana - yang di hadapan ialah masa depan. yang di belakang itu kita panggil sejarah.

Kadang-kadang orang tak suka dengan masa depan. sebabnya tidak tahu apa yang boleh diharapkan. juga kadang-kadang masa depan menjanjikan kehidupan yang palsu. siapa yang boleh tahu dia akan masih hidup untuk sehari yang akan datang?

Kerana itu kebanyakan orang menghargai masa semalam. kalau bukan kerana apa yang kita buat semalam, kita tidak akan berjaya hari ini. kalau bukan kerana apa yang kita buat semalam, kita tidak akan gagal hari ini.

Untuk itu kebanyakan orang memperuntukkan ruang yang khusus untuk menghargai masa semalam ini. ia dipanggil memori. kadang-kadang dipanggil kenangan. gunanya untuk mengingat di kala kita lupa dan menggembirakan di kala kita sedih.

Ada seseorang mencadangkan kepada saya sedikit masa dahulu untuk mengamalkan program penghargaan diri sendiri.

Contoh yang diberi (jika saya masih ingat dengan betul) ialah beli televisyen apabila putus cinta. gayanya seperti merayakan sesuatu yang menyedihkan tetapi ia sebenarnya satu bentuk penghargaan juga. biasanya bila seseorang itu putus cinta, dia akan mengurungkan diri di dalam bilik dan membasahi bantal dengan air mata. mungkin juga ada yang bertindak nak bunuh diri. orang-orang yang semacam ni memang tak perlu dihargai; elok dihargai dengan pelempang sahaja. dunia tidak kiamat hanya kerana kita putus cinta.

Tetapi bagi orang yang masih boleh meneruskan hidup dengan normal walaupun baru aje putus cinta, elok benar jika diberi hadiah. disebabkan baru lepas putus cinta, jangan harap bekas pakwe/makwe akan kasi hadiah. elok sahaja dibeli sendiri. sebab itulah ia dinamakan program penghargaan diri sendiri. sendiri dapat susah, sendiri dapat senang balik dan sendiri kasik hadiah pada diri sendiri.

Ramai orang suka dapat hadiah pada hari-hari yang dia gembira. misalnya pada hari jadi atau hari dinaikkan pangkat. dan orang juga akan hanya beri hadiah pada hari-hari yang macam ni. jarang orang dapat dan beri hadiah pada hari-hari yang dia sedih. dan jarang juga orang akan dapat dan beri hadiah pada hari-hari yang dia susah.

Sepatutnya kita mesti dihargai bukan hanya pada masa kita senang atau gembira. kita mesti juga dihargai pada hari kita susah atau sedih. bukan kesedihan atau kesusahan itu yang dihargai tetapi ketabahan dan kesabaran. dan siapakah orang yang terbaik untuk menilai kesabaran dan ketabahan seseorang melainkan dirinya sendiri.

Dalam hal penghargaan juga, jika yang akan menerimanya adalah diri sendiri juga, terpulanglah kepada diri sendiri yang menentukan. saya berpendapat membeli televisyen ketika putus cinta adalah sedikit tidak masuk akal tetapi itulah hadiah yang kawan saya tadi hadiahkan kepada dirinya sendiri. dia ada sebabnya sendiri untuk memilih hadiah yang itu. asalkan bahagia.

Di dalam hidup, kita jarang menghargai apa yang kita ada. biasanya kita lebih berminat dengan apa yang orang lain ada dan adalah menjadi cita-cita untuk kita memperolehi apa yang orang lain ada. di samping itu, kita juga ada perasaan untuk memiliki sesuatu yang orang lain tidak miliki. kerana dengan yang demikian, orang akan memandang kita dengan kekaguman.

Kerana itulah di dalam piala dunia kita melihat dua puluh dua orang berebutkan sebiji bola. bukan kerana mereka tidak berkemampuan untuk memiliki sebiji bola sendiri.

Tidak ada cara yang pasti untuk mencapai kejayaan. adakalanya; setelah berusaha bersungguh-sungguh, mengikut segala panduan yang diberi, memberi tumpuan seratus-peratus dan melakukan apa juga cara, kita masih juga tidak mendapat kejayaan. sebaliknya ada yang berusaha lebih kurang, tidak mengikut caranya yang betul dan kurang tumpuan, tetapi dia yang beroleh kejayaan. sesetengah orang mengatakannya nasib. ada yang mengatakan takdir.

Di dalam bolasepak, ini dipanggil bola itu bulat. main ala samba masih juga tak menang. tapi main bertahan dan serang sekali-sekala, itulah yang menang.

Lembu punya susu, sapi dapat nama. itu biasa berlaku di mana-mana. kita buat kerja penat-penat, orang lain yang dapat nama. kita buat kerja sungguh-sungguh tapi tidak diberi perhatian atau ganjaran. kalau pun ada, pada takat minima. orang lain pulak yang dilebih-lebihkan. dan biasanya orang lain itu ialah orang yang lebih tinggi kedudukannya dari kita. mungkin juga orang lain itu membuat kerja yang sedikit lebih dari kita.

Itulah yang terjadi kepada orang yang buat hantaran kepada penyerang yang jaringkan gol. yang disorak ialah orang yang sumbat gol, bukan orang yang buat hantaran. yang dicatat namanya untuk anugerah kasut emas ialah orang yang jaringkan gol. orang yang buat hantaran ni anugerah apa pun tak dapat - hatta kasut perak sekalipun.

Adakalanya di dalam hidup ini kita tidak akan selalu berjaya. dan juga tidak akan selalu gagal. tetapi baik berjaya atau gagal, kita tetap memperolehi sesuatu. itulah yang dinamakan pengalaman. pengalaman ini akan menjadikan kita orang yang lebih baik. dan pengalaman inilah yang membantu kita untuk terus hidup. dan pengalaman ini jugalah yang akan membezakan kita dengan orang lain.

1 comment:

Ojie said...

tapi kadang2 aku bg terapi jugak time2 aku sedih..cthnya, mcm aku beli sesuatu yg aku suka utk tenangkan hati aku yg tgh duka lara..ceeewah..huhu