Ada orang percaya cinta itu sudah ditakdirkan. istilahnya jodoh - mesti ada seorang wanita dilahirkan untuk seorang lelaki di dunia jadi. cuma masa sahaja yang dapat memberitahu bila kedua-dua mereka ini akan bertemu. dan cuma masa sahaja akan dapat memberitahu bagaimana kedua mereka ini akan bertemu. sebab itu kita ada istilah cinta pandang pertama - sekali jumpa terus jatuh hati. kita kata itu cinta pandang pertama tapi sebenarnya ia sudah ditakdirkan. begitu juga dengan pengantin yang tidak seperti pinang dibelah dua. kita kata itu pasangan pinang tak dibelah dua tapi sebenarnya itu sudah jodoh - takdir Tuhan bukan untuk dijadikan bahan gelak ketawa.
Jika sudah ada dewi cinta dengan panah ajaibnya, mengapa masih ada bujang lapok? jika sudah ditakdirkan ada pasangan, mengapa masih ada andartu?
Kata orang cinta tidak boleh dipaksa tetapi untuk mencari cinta, kadang-kadang kita kena juga memaksa. menunggu sahaja di depan pintu tidak akan menemukan kita dengan cinta. hidup bersahaja sambil mengharapkan kalau-kalau di tengah jalan boleh ketemu cinta pandang pertama tidak akan membuahkan cinta.
Kadang-kadang kita mesti memaksa diri untuk mencuba. kalau kita suka tetapi orang yang kita suka itu kata tidak suka, jangan terus habiskan niat itu di situ sahaja. sukan besbol pun ada tiga peluang sebelum diberikan strike. sesekali kita mesti memaksa diri kita untuk mencari. walaupun cinta tidak dijual di kedai basikal jauh sekali dijual timbang kilo di pasaraya hiper, cinta akan datang kalau kita ada usaha pergi mencari.
Asalkan kita mahu bercinta, sesekali memaksa diri apa salahnya. begitu juga kalau nak jadi pandai.
Kadang-kadang kita rasa kita dilahirkan semulajadi tidak pandai. ambil apa-apa periksa pun mesti markah corot. diajar macam-macam dalam kelas, keluar kelas habis semua lupa. orang lain buat pengamiran sambil tutup mata, kita sifir enam pun tak berapa nak ingat.
Tapi kalau kita mahu jadi pandai, kadang-kadang kita kena paksa diri sendiri. kalau orang lain baca sekali sudah boleh ingat tapi kita baca sekali langsung tak ingat, kita kenalah baca banyak-banyak kali. kalau orang lain boleh buat kira-kira pakai congak tapi kita sifir pun tak habis hafal, kita kenalah cari alat-alat yang boleh menolong kita membuat kira-kira. misalnya cari kalkulator, sempoa atau memakan kismis - kata orang makan kismis boleh menguatkan daya ingatan.
Tapi kalau kita sudahlah tidak mahu jadi pandai, tidak mahu memaksa diri pula itu maka kita akan jadi apa yang kita jadi sekarang - mungkin lebih teruk.
Pandai tidak ada dewa pandai yang akan memanahkan sesiapa yang bengap. pandai pada orang-orang tertentu sahaja sudah ditakdirkan. pandai bagi kebanyakan orang datang dengan usaha.
* di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. di mana ada sayang, di situ ada cinta:)