Tuesday, July 14, 2009

Webber kecewakan Vettel

Tiga pelumba Jerman gigit jari di Litar Nuerburgring

NURBURGRING (Jerman): Mark Webber memastikan kejayaan sulung dalam Formula Satu (F1) yang juga kejayaan pertama kali buat Australia sejak 1981 apabila dia mendahului rakan sepasukan Sebastian Vettel menerusi kejayaan satu-dua buat pasukan Red Bull pada Grand Prix Jerman, semalam.

Webber yang bersaing pada perlumbaan ke-130 dalam F1 selepas lapan tahun terbabit dalam perlumbaan itu, bermula dari petak pertama buat pertama kali dan mengatasi hukuman penalti melalui laluan pit pada pusingan pertama selepas perlanggaran untuk meraih kemenangan bergaya di litar pergunungan Eifel.

Pemandu berusia 32 tahun dari Queanbeyan dekat New South Wales, menang 9.3 saat di depan Vettel ketika dia mencipta kejayaan yang menyebabkan pemburuan gelaran dunia terbuka luas.

"Ia hari amat menakjubkan untuk saya. Saya amat mahukan kemenangan di sini," kata Webber, pemandu pertama Australia untuk mengecapi kemenangan sejak Alan Jones di Las Vegas 28 tahun lalu.

"Ia amat penting bagi saya untuk menang kerana tidak ramai pemandu Australia yang layak ke F1 dan hanya segelintir yang berjaya."

Dua pemandu Red Bull itu menamatkan saingan sesaat di depan pemandu Ferrari, Felipe Massa dari Brazil, yang meraih podium pertama, musim ini manakala pemandu Jerman, Nico Rosberg keempat bersama Williams.

Pendahulu kutipan mata kejuaraan dunia dari Britain, Jenson Button dari Brawn GP bergelut untuk menamatkan kedudukan di tangga kelima di depan rakan sepasukan dari Brazil, Rubens Barrichello. Pasangan Brawn itu berjaya mengatasi asakan juara dunia dua kali dari Sepanyol, Fernando Alonso dari Renault.

Juara bertahan dari Britain, Lewis Hamilton menamatkan saingan di tangga ke-18 yang juga terakhir selepas serangan hebat pada permulaan saingan yang menyaksikan dia terbabit dalam kemalangan dengan Webber dan tayar pancit.

Webber melanggar jentera Barrichello ketika memecut dari petak permulaan ke selekoh pertama, pelanggaran yang menyebabkan dia dihukum melalui hentian pit tetapi dia mengatasinya dengan gaya pemanduan hebat untuk kemenangan pertamanya.




No comments: