Monday, July 21, 2008

SUKA DUKA HARLEY DAVIDSON



Mungkinkah ini model pertama kenderaan beroda dua berjenama Harley Davidson?



Mungkin kisah Harley Davidson ini boleh menjadi satu teladan kepada firma motosikal tempatan seperti Modenas dan Naza Bikes untuk terus gagah menerjah dunia.

Tanggal 11 Julai yang lalu, firma pengeluar motor terkemuka dunia, Harley Davidson meraikan ulang tahun ke-105 semenjak William S. Harley dan Arthur Davidson berjaya mencipta enjin kecil berasaskan tenaga kayuhan penunggang kenderaan beroda dua di Milwaukee, Amerika Syarikat (AS).

Walaupun memulakan kerja-kerja mencipta enjin itu pada tahun 1901, kedua-dua sahabat baik itu hanya berjaya mencipta enjin berkenaan selepas proses uji kaji selama dua tahun dan sejak itu, mula mencipta enjin berkapasiti lebih besar dan menjual kepada pelanggan pada tahun 1905.

Wakil pengedar pertama motosikal berjenama Harley Davidson, Carl H. Lang dari Chicago hanya berjaya menjual tiga buah motosikal daripada 12 buah motosikal yang disimpan di bilik pameran sepanjang tahun pertama beroperasi.

Pada tahun 1906, Harley dan Davidson membina kilang mereka yang berdindingkan papan buruk dan mengeluarkan 50 buah motosikal sahaja setahun di Chestnut Street, Milwaukee yang menjadi ibu pejabat korporat syarikat berkenaan pada hari ini.

Itu kisah dahulu, namun hari ini, jenama motosikal Harley Davidson bukan lagi sebarangan kelasnya dalam dunia automotif setelah menjana jualan berbilion ringgit menerusi pusat jualan di seluruh dunia sejak muncul sebagai firma pengeluar motosikal berkuasa tinggi terbesar di dunia.

Melihatkan kejayaan Harley Davidson hari ini, ramai mungkin terlupa pahit-manis yang dilalui sepanjang lebih 100 tahun ini untuk muncul sebagai jenama motosikal yang dikagumi dan menjadi idaman setiap penunggang untuk memilikinya jika mampu kelak.

Cabaran

Suka-duka Harley Davidson termasuklah cabaran dalam menghadapi kegawatan ekonomi dunia pada tahun 1933 dengan jualan menurun kepada hanya 4,000 buah motosikal pada tahun berkenaan, daripada 21,000 buah motosikal beberapa tahun sebelum itu dan ini memaksa mereka mengerakkan mesin pengeluaran dengan enjin motosikal sahaja.

Semasa era Perang Dunia Kedua pula, Harley Davidson terpaksa melupakan cita-cita perniagaan buat seketika kerana diarah menghentikan pengeluaran enjin inovatif, sebaliknya menumpukan kepada kerja-kerja mengeluarkan puluhan ribu motosikal lasak untuk kegunaan tentera AS.

Selain itu, jenama Harley Davidson dicalarkan dengan imej penunggang motosikal besar ala-ala samseng kerana banyak filem Hollywood sekitar era 50-an hingga 70-an menggunakan motosikal itu untuk aksi-aksi ganas yang bersangkutan dengan jenayah.

Pada tahun 1969, selepas American Machinery and Foundry (AMF) membeli saham-saham syarikat itu, Harley Davidson berhadapan dengan tindakan mogok para pekerja yang mengakibatkan kilang-kilangnya mengeluarkan motosikal yang disabotaj dari aspek kualitinya.

Pada tahun 80an pula, Harley Davidson menerima serangan ‘luar’ apabila pretasi jualannya merudum akibat persaingan dari motosikal buatan Jepun yang jauh lebih murah dan berbaloi dibeli walaupun kualitinya tidak setanding dengan enjin keluaran Harley Davidson.

Ekoran tindakan perusahaan dan lambakan motosikal Jepun itu, jualan motosikal Harley Davidson menurun secara mendadak dan hampir-hampir menyebabkannya muflis sebelum diselamatkan oleh sekumpulan 13 pelabur yang diketuai oleh Vaughn Beals dan Willie G. Davidson yang membeli syarikat itu dari AMF pada harga $80 juta pada 1998.

Kenangan manis bagi Harley Davidson pula ialah firma yang dibina oleh dua pemuda itu berjaya muncul sebagai firma pengeluar motosikal berkuasa tinggi terbesar di dunia hanya ketika berusia 17 tahun dengan memiliki rangkaian jualan di lebih 67 negara.

Ekoran jenamanya yang gah, Ford Motor Company telah menjalinkan kerjasama dengan Harley Davidson dalam mengeluarkan trak yang meminjam jenama motosikal itu bagi menarik minat serta mengukuhkan keyakinan pembeli terhadap trak buatan Ford.

Harley Davidson juga banyak mengambil alih beberapa syarikat dalam industri yang sama di serata dunia antaranya Aermacchi dari Itali pada tahun 1974 tetapi kemudiannya menjual semula syarikat itu kepada Cagiva.

Harley Davidson juga membeli firma pengeluar komponen motosikal, Castalloy dari Australia dan terbaru sekali, Harley Davidson mengambil alih MV Agusta Motors (MV Agusta) sempena ulang tahunnya yang ke-105.

Pembelian MV Agusta dikatakan mampu membantu Harley Davidson melebarkan pegangan pasaran di benua Eropah. Mungkin kisah Harley Davidson ini boleh menjadi satu teladan kepada firma motosikal tempatan seperti Modenas dan Naza Bikes untuk terus gagah menerjah dunia.

No comments: