Sunday, April 19, 2009

Red Bull 1-2

Vettel, Webber takluk Litar Shanghai




AKSI Vettel ketika mengambil selekoh sambil diekori rapat Button dalam saingan di Litar Antarabangsa Shanghai. Vettel (gambar kecil) menjulang trofi juara.

SHANGHAI: Sebastian Vettel membolehkan pasukan Red Bull menikmati kemenangan buat julung kalinya dalam Formula Satu selepas mendahului sejak mula untuk mengungguli perlumbaan Grand Prix China dalam keadaan litar basah, semalam.

Vettel melakar kemenangan kedua dalam kerjayanya, menang dengan kelebihan 10.9 saat mengatasi rakan sepasukan, Mark Webber, yang juga mencatat pencapaian terbaik peribadinya.

Pendahulu senarai pelumba, Jenson Button, daripada pasukan Brawn GP menduduki tempat ketiga di Litar Antarabangsa Shanghai, sekali gus melebarkan kelebihan selepas tiga perlumbaan kepada enam mata.

Rakan sepasukan Button, Rubens Barrichello, menduduki tempat keempat apabila berjaya mengekang dua pelumba McLaren, Heikki Kovalainen dan Lewis Hamilton, yang hanya membuat satu hentian pit seperti pemandu Toyota di tempat ketujuh, Timo Glock.

Penguasaan satu dua Red Bull adalah hasil kemampuan krew pasukan itu, yang terpaksa menangani masalah driveshaft mengganggu jentera dan mengehadkan cubaan ketika sesi kelayakan, kelmarin.

"Saya amat-amat gembira," kata Vettel - satu-satunya kemenangan dilakarnya sebelum ini ialah dalam keadaan cuaca sama di Itali, tahun lalu.

"Jentera kami memang menakjubkan. Pasukan melakukan tugas yang amat hebat untuk menyiapkan jentera. Kami berjaya menemui masalahnya. Itu jadi bukti terhadap kualiti yang dimiliki oleh pasukan ini."

Ia adalah perlumbaan ketiga berturut-turut musim ini di mana penguasa petak hadapan berjaya muncul pemenang.

Ferrari sekali lagi tidak berjaya meraih mata, dengan jentera Felipe Massa rosak ketika Kimi Raikkonen berhempas pulas di kelompok pertengahan sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.

Ia adalah kali pertama sejak 1981 betapa Ferrari sudah mengharungi tiga perlumbaan tetapi masih belum meraih sebarang mata.



No comments: