Wednesday, May 27, 2009

Button takluk Monaco





Bersama Barrichello lakukan 1-2 untuk julang Brawn GP

MONACO: Pendahulu kejuaraan Formula Satu (F1), Jenson Button menguasai sepenuhnya litar jalan raya sukar di Monaco untuk memahat kemenangan kelimanya daripada enam perlumbaan, malam tadi dan sekali lagi memimpin kemenangan 1-2 untuk pasukan Brawn GP.

Kemenangan keenam dalam kerjaya pelumba Britain itu, diraih tanpa masalah selepas dia bermula dari petak pertama selain melebarkan lagi jurang mata dengan rakan sepasukan, Rubens Barrichello sebanyak 16 mata ketika saingan berbaki 11 perlumbaan.

Button, yang menamatkan saingan 7.6 saat di depan pemandu Brazil itu di GP Monaco itu, kini mengumpul 51 mata manakala Barrichello mengumpul 35 mata.

“Ya, Monaco, ya,” jerit pelumba Britain itu yang juga mempunyai taraf penduduk tetap Monaco menerusi radio pasukan sejurus dia mencatat kemenangan ketiga berturut-turut.

“Ia satu kemenangan yang amat bermakna, terutama di litar Monaco yang nyata berbeza berbanding litar lain. Ia suatu yang amat istimewa,” katanya pada sidang akhbar.
Satu-satunya kesilapan yang dilakukan pelumba ini selepas 78 pusingan adalah meletakkan jenteranya di tempat salah selepas meraih kemenangan.

Sementara itu, pelumba Finland, Kimi Raikkonen, yang memulakan perlumbaan di barisan depan tetapi dipintas Barrichello sejurus bermula, meraih tempat ketiga untuk pasukan Ferrari, kemenangan pertama untuk pasukan Itali itu sejak perlumbaan terakhir musim 2008.

“Memang ia agak mengecewakan kerana dipintas oleh Barrichello tetapi saya masih dapat bergembira dengan keputusan ini selepas apa yang dialami pasukan sepanjang musim ini,” katanya. - Agensi

KEPUTUSAN: Grand Prix Monaco
1 Jenson Button (GBR/Brawn) 1 jam 40min 44.282s; 2 Rubens Barrichello (BRA/Brawn) + 7.666s; 3 Kimi Raikkonen (FIN/Ferrari) + 13.442s; 4 Felipe Massa (BRA/Ferrari) +15.110s; 5 Mark Webber (AUS/Red Bull) +15.730s; 6 Nico Rosberg (GER/Williams) +33.586s; 7 Fernando Alonso (ESP/Renault) +37.839s; 8 Sebastien Bourdais (FRA/Toro Rosso) +1:03.142s; 9 Giancarlo Fisichella (ITA/Force India) +1:05.040s; 10 Timo Glock (GER/Toyota) +77 pusingan; 11 Nick Heidfeld (GER/BMW Sauber) +77 pusingan; 12 Lewis Hamilton (GBR/McLaren) +77 pusingan; 13 Jarno Trulli (ITA/Toyota) +77 pusingan; 14 Adrian Sutil (GER/Force India) + 77 pusingan; 15 Kazuki Nakajima (JPN/Williams) +76 pusingan

KEDUDUKAN KESELURUHAN
Pemandu: 1 Button 51 mata, 2 Barrichello 35; 3 Vettel 23; 4 Webber 19.5; 5 Trulli 14.5; 6 Glock 12; 7 Alonso 11; 8 Raikkonen 9; 9 Hamilton 9; 10 Massa 8; 11 Rosberg 7.5; 12 Heidfeld 6; 13 Kovalainen 4; 14 Buemi 3; 15 Bourdais 2
Pasukan: 1 Brawn 86; 2 Red Bull 42.5; 3 Toyota 26.5; 4 Ferrari 17; 5 McLaren 13; Renault 11; 7 Williams 7.5; 8 BMW Sauber 6; 9 Toro Rosso 5.







No comments: