Monday, May 11, 2009

GP Sepanyol: Pemandu Brawn GP kukuhkan kedudukan di tangga teratas



BARCELONA - Jenson Button meraih gelaran juara keempatnya musim ini selepas mengetuai kejayaan 1-2 Brawn GP pada perlumbaan Grand Prix Sepanyol, semalam.

Selepas menjuarai GP Australia, Malaysia dan Bahrain sebelum ini, Button menambah koleksi kejuaraannya itu daripada lima perlumbaan yang sudah berlangsung.


Hanya di GP China sahaja, pelumba dari Britain itu gagal melakukannya. Kemenangan semalam mengukuhkan kedudukan Button selaku pendahulu keseluruhan.

Rakan sepasukan Button, Ruben Barrichello menduduki tempat kedua dengan ketinggalan 13 saat di belakang diikuti pelumba Red Bull, Mark Webber, ketiga.

Buat tahun kesembilan berturut-turut, pelumba petak depan menjuarai GP Sepanyol tetapi bagi pelumba tuan rumah, Fernando Alonso hanya menang sorak.

Alonso yang memandu Renault hanya mampu menduduki tempat kelima di belakang Sebastian Vettel dari pasukan Red Bull.

Malang berterusan buat Ferrari apabila Felipe Massa yang di awal saingan nampak akan menaiki podium gagal mengekalkan rentak untuk sekadar menduduki tempat keenam.


Pada satu ketika, Massa mendahului jauh di depan selepas hentian pit pertama tetapi kemudiannya terpaksa memperlahankan jenteranya untuk menjimatkan minyak akibat silap strategi.

Rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen yang muncul juara di sini tahun lalu gagal menamatkan perlumbaan manakala Lewis Hamilton di tempat kesembilan.

Button kini 14 mata di depan Barrichello dalam kedudukan pelumba keseluruhan manakala pasukan mereka, Brawn GP menguasai kedudukan kategori pengeluar.

No comments: